Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian.
TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam
tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi
sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi
pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada
baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang
sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan
sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang
serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan
kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta
sahabat handai.
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih
disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA)
dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan
bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005
memutuskan:
“Bahwa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah
dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya
yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang
oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh
agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara
lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari
yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat
Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan
memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi
sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali
adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu
Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang
bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The
Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama
seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari
Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan
kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu
bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya
sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari
Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan
menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa
dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu
perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta
berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam
bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang
terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St
Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang
diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja
Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak
terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang
Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St
Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga
mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan
kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan
sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara
keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama
seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu
Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya
adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan
pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya
menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St
Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan
pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh
berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan
pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu
memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari
sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah
perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk
kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari
Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier, Ecumenical Christian
Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk
Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day
menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan,
dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St
Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas
sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman
sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa
walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka
dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga
orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut
sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan
yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah
dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau
cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah
Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai
identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan
akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi
yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah
dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman
Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak
akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah
(Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu
beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat.
Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat
1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan
umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian,
minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah
dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai
budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
+ Artikel asal dari: http://nurjeehan.hadithuna.com